Setiap hari kita melihat manusia berpusu-pusu keluar mencari rezeki. Ada yang keluar dari pagi hingga malam. Ada yang mengembara beribu-ribu kilometer. Ada yang menuju nun jauh ke lautan. Ada yang meninggalkan keluarga berbulan-bulan. Ada yang bekerja setiap masa tanpa henti dari muda hingga ke tua. Untuk mendapatkan rezeki pula, ada yang sanggup menipu dan merampas harta orang lain. Ada yang sanggup berbunuh-bunuhan. Ada yang sanggup melakukan pekerjaan yang terkutuk dan hina. Ada juga yang sanggup melanggar larangan Allah seperti riba dan rasuah. Namun anehnya rezeki yang dicari tidak cukup-cukup. Makin dibanting kudrat, tidak cukup juga hasilnya. Makin dikumpul, makin berkurangan. Ada yang gaji berpuluh ribu, hujung bulan licin juga. Hutang-hutang pun bertimbun. Ke mana pergi wangnya pun tidak diketahui. Semua ini terjadi kerana ramai yang tidak mengerti tentang hakikat sebenar rezeki. Kita perlu tahu bahawa rezeki kita sebenarnya ditetapkan oleh Pemberi rezeki iaitu Allah SWT. Yang menentukan rezeki kita bukan pekerjaan atau jawatan kita. Yang menentukan rezeki bukan majikan atau bos kita. Tetapi kita perlu yakin dan beri’tiqad bahawa yang menentukan qada’ dan qadar serta rezeki kita hanya Allah SWT semata-mata. Apabila kita sedar bahawa Allah SWT ialah satu-satunya Pemberi rezeki dan rezeki kita ditulis oleh Allah SWT, tidak ada gunanya kita mencari rezeki bermati-matian jika Allah SWT tetap tidak izinkan kita untuk memilikinya. Oleh sebab itu, kita perlulah mendahulukan perbuatan mengundang rezeki sebelum mencari rezeki. Apabila sudah tahu dimanakah terletaknya rezeki, pastilah lebih mudah untuk kita mendapatkannya berbanding dengan membuang masa mencarinya. Di manakah terletaknya rezeki? Rezeki terletak hanya di tangan Pemberinya semata-mata iaitu Allah SWT. Dialah yang membuka dan menutup pintu rezeki. Dialah yang menambah dan mengurangkan rezeki. Bagaimanakah pula caranya untuk mengundang rezeki? Kita perlulah melakukan segala suruhannya dan tinggalkan semua larangan yang dikehendaki oleh Pemberi rezeki. Yakinlah dengan janji-janjiNya. Pujilah Dia. Bodeklah Dia. Ampulah Dia. Sayangilah Dia. Sayangilah orang yang disayangiNya. Mohonlah kepadaNya. Dan janganlah berputus asa dengannya. Berbuat baiklah sebagaimana disuruh sesama makhluk. Jalinkan silaturrahim sesama insan sebagaimana yang diperintahkanNya. Sebarkanlah dan berkongsilah kepada makhluk yang lain tentang perkhabaranNya dan ancamanNya. Ceritakanlah kepada manusia lain tentang kehebatanNya. Janji-Janji Allah SWT dalam memberi rezeki: 1) Bertaqwa : Bertaqwa merupakan syarat utama untuk menjemput rezeki. Taqwa bermaksud takut kepada Allah dengan mengelakkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan menahan diri daripada dosa. Melakukan segala suruhan Allah SWT juga merupakan suatu bentuk ketaqwaan. 2) Bersolat: Sabda Nabi Muhammad SAW: ” Solat ialah salah satu perkara yang disukai oleh Allah S.W.T. Ia juga perbuatan yang dicintai oleh para malaikat,dan ianya adalah sunnah Ambiyaa` Alaihi Mussolatu Wassalam, Nur (cahaya) kepada maar`ifah dicapai dan doanya diterima, dan keberkatan rezeki didapati.” Sahabat Nabi juga penah berkata: “Apabila isi rumah dan bekalan makanan di rumah Nabi S.A.W berkurangan dan tidak ada, Baginda menyuruh isi rumahya menunaikan solah dan membaca ayat: ” Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa.” (Taha :132) 3) Bersegera Untuk Allah SWT: Nabi Muhammad bersabda: “Tuhanmu telah berfirman: ‘Wahai anak Adam,sempatkanlah untuk beribadah kepadaKu, maka Aku akan penuhi hatimu dengan rasa kaya dan Aku akan penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki. Wahai anak Adam, janganlah kamu menjauhi Aku, maka Aku akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan kedua-dua tanganmu dengan kesibukan’.”- H.R Imam Al-Hakim daripada Mu’aqqal bin Yassar r.a.- 4) Istighfar: Saidina Abbas R.Anhu meriwayatkan bahawa Nabi .S.A.W bersabda, “Seseorang yang kerap mengucapkan istighfar,yang mana ianya meminta keampunan dari Allah S.W.T atas dosa yang dia telah buat,maka Allah S.W.T akan membuka jalan-jalan penyelesaian dari kemiskinan dan kesusahan. Segala penderitaan dan kesusahan akan dialihkan dan pada tempatnya kemakmuran dan kesejahteraan akan didapati yang mana seseseorang itu akan menerima rezeki dari sumber yang tidak diketahui dan tidak dijangka sumbernya.” 5) Tawakkal: Tawakkal pada Allah S.W.T boleh diterjemah dan ditakrifkan sebagai berharap sepenuhnya pada Allah S.WT di dalam penerangan yang lebih terperinci ianya bermaksud seratus peratus berserah dan berharap pada Allah SWT akan memberi rezeki. Tawakkal juga menggesa kita mempercayai bahawa jika semua mahluk ciptaanAllah S.W.T berkumpul dan datang untuk mengubah sesuatu, maka pasti mereka tidak mampu mengubahnya kecuali dengan izin Allah SWT Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi.) 6) Infaq Di Jalan Allah SWT: Ramai yang hairan bagaimanakah harta akan bertambah jika kita memberikan harta kita kepada orang? Disebabkan perasaan risau itu jugalah, ramai yang tidak sanggup bersedekah dan menderma kerana khuatir berkurangnya harta. Anehnya, ramai pula orang yang tidak beriman yang rajin menderma kerana mereka percaya ia boleh menambahkan lagi kekayaan mereka. Robert Kiyosaki pernah menulis tentang antara rahsia kekayaannya ialah, sewaktu ekonominya tidak stabil, dia akan mencari apakah barangan yang paling disayanginya, lalu dia akan menderma barangan yang paling disayanginya dan dia akan dikurniakan rezeki yang berganda selepas itu. Warren Buffet yang pernah tersenarai sebagai orang paling kaya di dunia pun yakin dengan amalan menderma dan bersedekah. Dia pernah menderma setengah hartanya berjumlah US 30 Billion semata-mata untuk kebajikan manusia. Hairan bin ajaib. Sepatutnya orang Mukmin lebih terkehadapan di dalam bab bersedekah dan menderma. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” -Hadis Riwayat Bukhari & Muslim- 7) Menyambung Silaturrahim: Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.” 8) Berhijrah: Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang menyatakan tentang orang yang berhijrah akan memperolehi banyak rezeki. “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (An-Nisa’: 100) 9) Tinggalkan perbuatan dosa : Tiada gunanya beristighfar jika masih melakukan dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” – [Riwayat at-Tirmizi] 10) Berbakti dan mendoakan ibu bapa: Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya.” – [Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim] 11) Berbuat baik dan menolong orang yang lemah : Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” – [Riwayat Bukhari] 12) Banyakkan berbuat kebajikan : Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.” 13) Melazimi solat malam (tahajjud) : Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T. 14) Melazimi solat Dhuha : Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani] 15) Bersyukur kepada Allah S.W.T. : Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” – [Ibrahim: 7] 16) Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu : Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki. Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam. 17) Berdoa : Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan. 18) Berikhtiar sehabisnya : Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim] Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya. 19) Bertawakal : Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya).” – [At-Talaq: 3] Banyak lagi amalan-amalan lain yang dapat menambahkan lagi rezeki dan keberkatan hidup kita yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Marilah menambahkan keyakinan kita terhadap kebenaran janji-janji Allah SWT.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar